selamat datang

selamat datang

GPMS

MUKADIMAH GPMS

APAKAH GPMS
GPMS, singkatan perkataan daripada “Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung”, merupakan sebuah badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk membantu masyarakat Melayu khasnya yang berada di Malaysia.


KENAPA GPMS DITUBUHKAN
Kemunduran bangsa Melayu dalam bidang ekonomi, sosial, dan politik menjadi pendorong yang kuat ke arah penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 14 dan 15 Ogos 1948. Atas hasrat untuk mengatasi kemunduran tersebut maka berkumpullah beberapa orang pelajar Melayu Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura untuk menaja penubuhan badan pelajar Melayu peringkat kebangsaan yang bertujuan menggabungkan badan pelajar yang sedia wujud ketika itu.



SIAPAKAH PENGASAS GPMS
GPMS telah diasaskan oleh Aminuddin Baki. Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward, Singapura. Mereka diketuai oleh Aminuddin Baki (allahyarham), Abdul Wahab Ariff, Mohd Nor Marahakim, Abdullah Majid dan seorang siswi perubatan, iaitu Siti Hasmah Mohd Ali. Mereka bertanggungjawab mengadakan konvokesyen dan menubuhkan Jawatankuasa Sementara GPMS…

Kami pelajar melayu dijemput oleh Jawatankuasa Sementara GPMS untuk menghadiri Persidangan Penubuhan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948;

PRINSIP 4 SEDAR 
SEDAR atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu.
SEDAR atas kemunduran kami di alam pengetahuan.
SEDAR atas kewajipan kami untuk meningkatkan darjat pengetahuan bangsa.
SEDAR bahawa maju mundur, kaya miskin dan hina mulia bangsanya itu terletak di tangan kami.

Berpendapat bahawa Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung wajiblah didirikan dengan tujuan menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar-pelajar melayu dari segenap lapisan.
 

MOTO GPMS
GPMS meneruskan semangat pemimpin pengasasnya, Allahyarham Aminuddin Baki supaya sentiasa menyeru GPMS dan pelajar supaya "BELAJAR TERUS BELAJAR".


LAGU RASMI GPMS

Timbulnya Gabungan Pelajar Melayu,

Setelah Menempuh Halangan,

Bahagia Hendaknya Memimpin Pelajar,

Bagi Ibu Kandungan,

Kekal Berpanjangan, Khidmat Mulia,

Dengan Tulus Dan Setia,

Cekal Bersatu Lambang Kita,

Menuntut Hingga Berjaya.

(ulang 2X)

Ciptaan: Allahyarham Yub Rawan